Sunday, August 28, 2011

Sunnah Mukmin Berhari Raya

MEMBERSIHKAN DIRI
     Langkah untuk memastikan kita berada dalam keadaan yang bersih dan kemas pada pagi hari raya adalah dengan melakukan amalan sunat seperti memperkemaskan misai, janggut, bulu ari-ari, memotong kuku dan bersugi. Disunatkan juga mandi pada pagi hari raya sebagaimana mandi wajib, iaitu sebelum berangkat untuk solat sunat Aidilfitri.
     Ali b. Abi Talib r.a. pernah ditanya mengenai mandi, adakah diharuskan mandi setiap hari? Beliau menjawab, “Tidak harus melakukannya. Namun mandi yang diharuskan ialah mandi pada hari Jumaat, hari Arafah, hari raya Aidiladha dan Aidilfitri.” (Riwayat a;-Dailami)

BERTAKBIR
     Takbir pada 1 Syawal bermula ketika terlihatnya hilal (anak bulan) dan berakhir setelah selesainya kemuncak hari raya, iaitu ketika imam selesai berkhutbah. Allah SWT berfirman maksudnya : “Dan juga supaya kamu mencukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadhan), supaya kamu membesarkan Allah (dengan bertakbir) kerana telah member petunjuk-Nya kepada kamu dan supaya kamu bersyukur.” (AlBaqarah 2 : 185)

BERWANGI-WANGIAN DAN MEMAKAI PAKAIAN YANG ELOK
     Berpakaian cantik ialah sunnah pada hari ini. Tidak semestinya berpakaian baru tapi jika berkemampuan adalah lebih baik. Walaupun demikian, perlulah mengikut kemampuan. Disunatkan juga bagi kaum lelaki memakai wangi-wangian.

MAKAN SEBELUM SOLAT AIDILFITRI
     Mengikut apa yang dilakukan oleh Rasulullah SAW sebagaimana yang diriwayatkan daripada Anas r.a.m beliau berkata : “Nabi SAW tidak keluar pada waktu pagi Hari Raya Fitrah sehingga Baginda makan (terlebih dahulu) beberapa biji tamar dan Baginda memakannya dalam bilangan ganjil.” (Riwayat Al-Bukhari dan Ahmad)

SOLAT SUNAT AIDILFITRI DAN MENDENGAR KHUTBAH
     Daripada al-Barra’ bin ‘Azib bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : “Sesungguhnya yang awal-awal sekali kita mulakan pada hari ini (hari raya) ialah solat.” (Riwayat al-Bukhari)


UCAPAN TAHNIAH DAN SALING MENDOAKAN
     Sunat saling mendoakan dan mengucapkan tahniah antara satu sama lain. Kita boleh menggunakan apa-apa jua kalimah, asalkan ia mempunyai maksud yang sama. Bagaimanapun, kalimah yang digunakan pada zaman Baginda SAW adalah seperti yang disebut dalam sebuah riwayat hadis :
      Berkata Wathilah : “Aku bertemu Rasulullah SAW pada hari raya dan aku katakan kepada baginda : تقبل الله منا ومنكم Semoga Allah menerima daripada kami dan daripada kamu.), lalu Baginda menjawab “Ya, تقبل الله منا ومنكم” . (Riwayat al-Bukhari)

PERGI DAN PULANG DARI MASJID MELALUI JALAN YANG BERBEZA
     Disunatkan berjalan kaki menuju ke masjid untuk menunaikan solat sunat hari raya. Namun begitu bagi sesiapa yang perlu menggunakan kenderaan kerana tempat solat terlalu jauh, ia dibolehkan oleh syarak.
     Disunatkan juga mengikuti jalan yang berbeza ketika pergi dan kembali dari mengerjakan solat hari Raya. Jabir bin Abdullah r.a berkata : “Nabi SAW melalui jalan yang berbeza pada Hari Raya.” (Riwayat Al-Bukhari)

SOLAT AIDILFITRI
      Solat sunat Aidilfitri ini disunatkan untuk dihadiri oleh orang dewasa baik lelaki mahupun wanita, tua dan muda, dewasa mahupun kanak-kanak, termasuk juga wanita yang sedang haid. Mereka tidak turut solat, tetapi boleh hadir untuk mendengar khutbah.

ZIARAH-MENZIARAHI
     Amalan ziarah-menziarahi ini adalah bertepatan dengan suruhan agama Islam. Pada asasnya, hari raya ialah hari untuk bergembira, bermaaf-maafan dan hari untuk mengeratkan silaturahim dalam kalangan umat Islam di samping meraikan kejayaan beribadah kepada Allah pada Ramadhan yang lalu.
     Daripada Anas bin Malik, katanya : “ Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda : Sesiapa yang ingin rezekinya dilapangkan oleh Allah atau ingin usianya dipanjangkan, maka hendaklah dia menghubungkan silaturahim.” (Riwayat Muslim)
     Kita harus menjaga adab-adab menyambut hari raya supaya tidak merosakkan amalan kita sepanjang Ramadhan. Jauhi sambutan dengan melakukan perkara maksiat, hiburan yang melampau, pergaulan bebas, perbelanjaan yang membazir dan sebagainya. Penuhilah sambutan hari raya dengan penuh ketaqwaan dan akticiti yang berunsurkan syariat.

SOLUSI EDISI 34

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...