Tuesday, March 8, 2011

Harga Diri Kita

Berikut adalah faktor yang menjadikan manusia berharga hidupnya. Dengan memilikinya maka bernilailah keberadaannya di atas muka bumi ini. Tanpanya bererti tidak bermaknalah anugerah nafas dan usia buat dirinya.


Ilmu
Asas kecemerlangan dan kejayaan adalah ilmu. Pakej kecemerlangan dunia dan akhirat didasari oleh kecemerlangan ilmu. Ingatlah! Mati jasad kerana tiada roh, mati roh kerana tiada ilmu! Ertinya manusia tanpa ilmu hakikatnya telah mati sebenarnya. Imam As-Syafie menyarankan supaya disolatkan kepada orang begini dengan solat empat kali takbir. Solat Jenazah!



Iman
Iman adalah mutiara. Bahkan lebih berharga daripada segala perhiasan dan harta di dunia. Dengan imanlah yang akan memandu manusia ke arah jalan kebaikan. Bahkan dengan imanlah yang akan menyelamatkan manusia di Akhirat. Tanpa iman, manusia akan melalu kehidupan ini bagai haiwan yang falsafah hidupnya semata-mata untuk memenuhi tuntutan perut dan syahwatnya semata-mata!


Akhlak Mulia
Akhlak umpama bunga yang cantik. Manusia akan tertawan hatinya kepada orang yang berakhlak mulia. Bahkan nilaian Allah terhadap hambaNya juga pada penanda aras akhlak yang mulia. Syurga tersangat indah adalah disediakan untuk manusia yang pekertinya baik. Sesungguhnya tanpa akhlak, hidup di dunia ini akan penuh dengan kekejaman, dendam kesumat, pergaduhan, peperangan dan seluruh koleksi yang bermaksud kebinasaan dan kehancuran. Jangan dilupa, kedatangan baginda SAW di dunia ini adalah di atas misi menyempurnakan akhlak yang mulia kepada sekalian manusia!


Harta

“Mulianya di dunia dengan harta, mulianya di akhirat dengan amal soleh.” Ini ungkapan Saidina Umar al-Khattab. Memang benar kata-kata tersebut! Dengan harta maka manusia dipandang mulia. Ada sebuah syair Arab yang bermaksud : “Aku lihat semua orang pergi pada orang yang ada emas dan orang yang tidak ada emas semua orang lari meninggalkannya.”

Justeru, milikilah harta kerana ia adalah saranan dalam agama. Cuma jangan tersasar niat dan matlamat. Jangan tersalah dalam menggunakannya. Jadikanlah harta sebagai pelaburan terbaik untuk dividen Akhirat kelak. Dengan harta manusia akan dipandang orang. dengan sifat dermawan daripada orang yang berharta akan dimuliakan pula oleh Allah.

Demikianlah empat perkara yang paling utama yang mesti kita miliki. Dengannya akan berhargalah diri kita dalam kehidupan ini. Sungguh! Jangan sedih jika diri tidak dihargai, tetapi tangiskanlah apabila diri tidak berharga lagi!

(Anis November 2010)

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...