Saturday, December 4, 2010

Kehinaan Yang Panjang


Kunci kebinasaan ini adalah apabila umat telah tersilau mata sehingga tidak nampak lagi bahawa iman itu mutiara dan ukhuwwah itu permata. Dua perkara ini menjadi teras perjuangan Rasulullah SAW sehingga membentuk cara hidup yang hebat dalam diri dan umat sejagat. Inilah sebenarnya rahsia kekuatan ajaran Rasulullah SAW yang seharusnya diikuti umat pada hari ini.

Sebaliknya umat akhir zaman mengabaikan dua perkara ini lalu menderita merengguk kehinaan yang panjang. Bukan kerana kekuatan musuh tetapi umat Islam memilih untuk melepaskan dua perkara paling berharga ini, lalu mereka bertukar watak menjadi anjing-anjing yang galak menyalak, menderam kemarahan, menyeringai taring dan mencecer air liur. Dunia menjadi buruan, bangkai kehinaan menjadi santapan. Semua gerak kerja berdasarkan kepentingan dunia semata-mata.


Wang, harta, kedudukan, jawatan dan pengaruh adalah matlamat teratas. Kebijaksanaan dan kepintaran dikerah bagi menghalalkan cara dengan dalil yang boleh direka-reka bagi mencapai matlamat, kerana itu manusia payah untuk berkompromi dalam apa jua permasalahan. Lebih malang, mereka akan ketagih untuk terus bermusuhan dan membutakan hati untuk melihat akibat buruk di kemudian hari. Akhirnya seseorang itu sanggup menjadirikan dirinya alat yang membinasakan ummat, demi kepentingan sendiri yang sempit!

Kalimah ‘ummati… ummati… ummati’ yang diucapkan oleh Rasulullah SAW sebagai luahan kasih sayang baginda kepada seluruh umat ini kian samar bersama hanyir bau darah saudara-saudara seagama yang bergelimpangan di serata sempat akibat permusuhan sesama saendiri.


Allah berfirman : “Ambillah iktibar wahai orang yang punya penglihatan.” (Al-Hasyr:2)

Anis November 2010, Kolum Fitnah Zaman
Oleh Zul Ramli b. Razali

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...