Sunday, April 4, 2010

Mehnah Kita



Hidup ini tidak pernah lari dari dugaan, ujian. Mehnah dan tribulasi dalam menempuh kehidupan seolah menjadi sesuatu yang tidak dapat dipisahkan. Mengapa diuji? Allah berfirman dalam surah Al-Ankabut (29) ayat 2:

أَحَسِبَ ٱلنَّاسُ أَن يُتۡرَكُوٓاْ أَن يَقُولُوٓاْ ءَامَنَّا وَهُمۡ لَا يُفۡتَنُونَ

Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?


Read more..>>



Sudah jelas dan bersuluh bahawa ujian yang diberi adalah untuk menguji sejauh mana tahap keimanan kita. Hanya kita yang sering berkata, ujian ini kerna Allah tidak sayangkan kita lagi. Allah juga berfirman bahawa DIA tidak akan menimpakan ujian yang tidak mampu kita pikul*. Namun sering juga, manusia berkeluh kesah dalam kehidupan mereka.

Boleh jadi setiap yang berlaku pada kita adalah nikmat. Boleh jadi juga ia adalah ujian. Atau kedua-duanya. Contohnya, jika kita dikurnia harta yang banyak, ia adalah nikmat agar kita menjadi manusia yang bersyukur. Ia juga bisa jadi ujian, adakah kita akan menggunakan harta itu ke arah yang baik atau sebaliknya. Harta, secara umumnya duit, wang, pitih. Adakah kita akan membeli untuk perkara yang memberi manfaat (contohnya buku, pakaian dsb), adakah kita menderma, atau kita gunakan semata untuk makanan? Sudah menjadi ujian buat kita, sejauh mana juga tahap kesyukuran kita dengan apa yang Allah beri.

Bukan sedikit manusia yang mahu kembali ke pangkal jalan. Kerana setiap kita sudah diciptakan dengan fitrah iaitu untuk kembali kepada Allah**. Andai kita melangkaui batasan fitrah itu, maka pastilah akan timbul pelbagai masalah di muka bumi.

Bagi yang sudah berniat untuk bertaubat, kembali lah tanpa sebarang tangguhan. Sesungguhnya mati tidak kenal usia. Andai sudah tiba saat kita, berlalulah kita pergi, samada dengan kesudahan yang baik (Husnul Khotimah) atau sebaliknya (Suu-ul Khotimah).

Usah pedulikan kata-kata dan pandangan sinis di sekeliling. Tetapkan dan bulatkan hati untuk melakukan perubahan, kerna Allah bersama, SENTIASA. Allah tahu kita bagaimana. Allah lah yang menjadi pemujuk diri untuk terus melawan hawa nafsu. Allah lah yang menjadi tempat mengadu tatkala dirasa tiada siapa di sisi.

Namun tika mujahadah itu, pasti akan ada anasir-anasir yang mengganggu. Maka Allah lah tempat kita memohon kekuatan. Untuk terus bertapak mendaki cinta Allah yang pasti. Untuk terus menjadikan hidup ini sebagai ladang Akhirat. Maka Ya Allah, bantulah kami selalu. Kerana tiada yang dapat memberi pertolongan selain Engkau Ya Allah. ENGKAU lah yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu. ENGKAU lah yang menetapkan hati kami. Maka tetapkan lah hati kami dalam agama-Mu dan dalam ketaatan kepada-Mu. Ameen ameen ameen Ya Allah.

قُلۡ إِن كُنتُمۡ تُحِبُّونَ ٱللَّهَ فَٱتَّبِعُونِى يُحۡبِبۡكُمُ ٱللَّهُ وَيَغۡفِرۡ لَكُمۡ ذُنُوبَكُمۡ‌ۗ وَٱللَّهُ غَفُورٌ۬ رَّحِيمٌ۬


Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani ***

Salam Mujahadah buat semua!

*al-Baqarah(2):286
**al-A'raaf(7):172
***Ali-Imran(3):31

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...